Lelaki nekad undur dan rempuh kereta milik 'geng tarik kereta'


RAWANG, SELANGOR - Viral video pemandu kereta Proton Saga yang nekad mengundurkan keretanya dan merempuh kenderaan milik 'geng tarik kereta' berulang kali, tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian jam 4.30 petang Khamis lalu di sebuah kedai penghawa dingin di Rawang Mutiara, kumpulan penarik kereta itu dikatakan telah menghalang kereta Proton Saga FLX milik mangsa yang sedang diselenggara. 

Video berdurasi seminit itu menunjukkan lelaki berkenaan nekad mengundurkan keretanya dan merempuh kereta Proton Wira milik penarik kereta berulang kali. Malah dalam video itu turut kedengaran jeritan seorang wanita yang dipercayai isteri kepada pemandu terbabit yang meminta lelaki itu berhenti dari terus berbuat demikian. 


Selepas beberapa kali melanggar kereta di belakang yang remuk teruk di bahagian depan dan kiri, pemandu itu akhirnya berjaya meloloskan diri dari lokasi kejadian.



Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada kedua-dua pihak berhubung kejadian itu. 

"Pemilik kereta Proton Saga FLX memaklumkan keretanya dihalang dari belakang sebelum dua daripada lima lelaki menghampirinya dan mahu merampas kunci kereta tanpa memperkenalkan diri. 

"Berdasarkan laporan, lelaki itu terkejut dan takut dengan tindakan dua lelaki yang tidak dikenali itu dan bertindak mengundurkan kereta untuk melarikan diri," katanya. 

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan. 

No comments:

Post a Comment

Pages