Berhabis hampir RM200,000



"Bukan sahaja melalui telefon, di luar juga ada yang bertemu saya hanya untuk memaki hamun. Bagaimanapun, saya ambil positif," kata Amirul Rizwan Musa, 21, yang tular apabila wajahnya menyerupai watak anime atau kartun animasi.
Amirul yang lebih dikenali dengan nama Miyyo Rizone, menerima kecaman hebat daripada netizen selepas gambar wajahnya menjadi tular sejak dua minggu lalu.
Amirul mengakui menjalani pembedahan wajah sejak 2014 termasuk dua pembedahan di luar negara untuk mendapatkan wajah diinspirasikan daripada watak Squall Leonheart dalam Final Fantasy bagi meneruskan kariernya sebagai model sejak tiga tahun lalu.
Katanya, dia sudah berhabis hampir RM200,000 bagi membiayai kos pembedahan wajah secara berperingkat-peringkat sejak 2014.
"Sebelum ini saya sudah tular tetapi tidak sehebat ini. Saya pernah menjuarai pertandingan Ulzzang Asia secara dalam talian pada 2012 dan mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan selepas itu selepas ditawarkan menjadi model.
"Saya tidak sangka gambar wajah saya menjadi tular sehingga menerima panggilan dan mesej tidak henti-henti daripada orang ramai hanya untuk mengutuk saya.
"Lebih menyedihkan, ada yang datang bertemu secara berdepan semata-mata untuk memaki hamun saya," kata anak jati Ketereh, Kelantan itu.
Menurut anak bongsu daripada lapan beradik itu, dia bagaimanapun bersyukur kerana masih ada segelintir masyarakat yang memberi sokongan serta memberikan tawaran kepadanya.
"Walaupun tular lebih kepada reaksi negatif ia tidak menutup periuk nasi saya kerana ditawarkan tawaran berlakon drama dan duta produk daripada beberapa syarikat.
"Namun saya masih mempertimbangkan tawaran itu kerana mahu menumpukan kepada perniagaan produk kecantikan jenama sendiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Amirul, biarpun menerima kecaman teruk daripada masyarakat dia berusaha untuk bersikap profesional dan tidak mahu cepat melatah kerana keadaan itu sedikit sebanyak membantu memajukan perniagaannya.
Sumber : MyMetro

No comments:

Post a Comment

Pages