Tak tahu punca kena khianat

Tak tahu punca kena khianat
Muhamad Furqon melihat keadaan gerai ayam gorengnya dirosakkan tanpa mengetahui punca sebenar.

KULIM - Seorang peniaga ayam goreng kecewa gerainya telah dialih dari tempat asal dan dirosakkan individu tidak bertanggungjawab, kelmarin.
Muhamad Furqon Moktar, 25, berkata, dia berniaga ayam goreng di tepi jalan dekat Taman Selasih itu sejak 10 bulan lalu tanpa sebarang gangguan.
“Saya berniaga ayam goreng RM1 ni sejak Oktober tahun lalu. Tak ada pula gangguan daripada sesiapa. Nak kata ada musuh, tak ada pula saya buat salah atau sakitkan hati sesiapa sepanjang berniaga. Tak pernah orang datang marah saya berniaga di sini.
“Semalam (kelmarin) tiba-tiba gerai saya dialih ke tengah jalan dan dirosakkan tanpa mengetahui siapa dan sebabnya,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu disedari rakannya kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, yang hairan melihat gerainya bersama kerusi dan kun diletakkan di tengah jalan.
“Masa tu pukul 4.30 pagi, kawan saya ada mesej tanya sama ada masjid ada buat apa-apa program sebab hairan tengok gerai di tengah jalan. Macam nak tutup laluan tu.
"Saya terus ke lokasi untuk lihat sendiri gerai tu. Masa sampai di sana, peniaga roti canai dah alih ke tepi jalan. Sebelah malam pula gerai saya telah dirosakkan dan menanggung rugi RM200 untuk baik pulih,” katanya.
Gerai yang dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.
Tambah Muhamad Furqon, walaupun menghadapi pelbagai dugaan, namun dia tidak akan berputus asa untuk meneruskan perniagaan yang menjadi sumber pendapatan bagi menyara adik dan bapanya yang sakit.
“Perniagaan inilah sumber pendapatan kami tiga beranak untuk teruskan hidup. Saya tak akan berputus asa.
"Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi (semalam) untuk langkah keselamatan," katanya.

Sumber : SinarOnline

No comments:

Post a Comment

Pages