SKRIN yang memaparkan maklumat perjalanan penerbangan pesawat Qatar Airways QR857 menuju ke Doha yang melencong dari laluan asal.
DUA jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pesawat Qatar Airways QR857 yang saya naiki mengalami turbulance atau pergolakan udara yang menggerunkan sehingga kapten mengarahkan semua anak kapal mengambil tempat duduk. "Cabin crew please be seated for turbulance," arah kapten kapal sehingga menyebabkan semua penumpang mengetatkan tali pinggang dan berdoa. Pesawat itu bergegar naik dan turun selama beberapa minit ketika ia menerobos awan. Ketika itu pesawat A340 berada pada ketinggian 38,000 kaki pada kedudukan 199 batu (320km) dari Pulau Nicobar di Lautan Hindi, lokasi yang sememangnya terkenal dalam dunia penerbangan sebagai 'mencabar'. Ia juga mengingatkan saya kepada misteri kehilangan MH370. Sepanjang perjalanan ke Doha, ibu kota Qatar yang kini dibelenggu krisis diplomatik dengan Negara Teluk yang diketuai Arab Saudi, pesawat QR857 mengalami sekurang-kurangnya dua lagi pergolakan udara yang berakhir dengan kecekapan kapten mengemudikan pesawat. Melencong ke ruang udara Iran Pesawat itu juga melencong ke timur melalui ruang udara Iran, keluar dari ruang udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum memasuki ruang udara Bahrain dan mendarat di Doha pada jam 1.25 petang waktu tempatan iaitu 20 minit lebih lewat. "Penerbangan keluar masuk ke Qatar tiada masalah cuma bukan dari negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar. Dalam kes pesawat dari Malaysia, masa penerbangan bertambah 20 minit (penerbangan KL-Doha biasanya kira-kira 7 jam). "Tiada sesiapapun terkandas di sini. Penerbangan berjalan seperti biasa cuma tiada lagi pesawat dari Arab Saudi, UAE, Bahrain atau Mesir," kata seorang petugas Qatar Airways dari Malaysia yang enggan dinamakan ketika ditemui di Doha, semalam.
KEADAAN Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha lengang berikutan krisis diplomatik Qatar. - Foto Aizuddin Saad
Arab Saudi, Bahrain, UAE dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar, Isnin lalu sehingga menyebabkan krisis diplomatik di Negara Teluk. Semua negara terbabit kecuali Mesir adalah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menentukan jatuh dan bangun harga minyak dan gas dunia. Alasan mereka Qatar menyokong kumpulan pengganas, bersikap pro-Iran yang juga seteru Negara Teluk dan menuduh Doha campur tangan dalam urusan negara jiran. GCC yang dianggotai enam negara teluk, iaitu Arab Saudi, Qatar, Bahrain, UAE, Oman dan Kuwait ditubuhkan pada 1981 sebagai sebuah pakatan bagi mengimbangi pengaruh Iran di Negara Teluk, namun situasi itu berubah apabila Qatar mengamalkan dasar luar pragmatik yang sering kali ditafsirkan berbeza dengan sekutunya. Berbeza dengan krisis diplomatik pada 2014 yang menyaksikan hanya diplomat diarah keluar atau pulang, pergolakan kali ini membabitkan dimensi tindakan drastik iaitu sekatan darat, laut dan udara oleh Arab Saudi, Bahrain, UAE dan Mesir (yang sememangnya kurang senang dengan tindakan Qatar menyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak melalui kebangkitan demokrasi rakyat pada 2011). Lapangan terbang lengang Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, saya dan jurugambar, Aizuddin Saad mendapati lapangan terbang antarabangsa itu agak lengang dengan paparan maklumat penerbangan di situ menunjukkan beberapa penerbangan, antaranya dari Abha dan Jeddah (Arab Saudi) dan Bahrain pada petang semalam, dibatalkan. Bagaimanapun, penerbangan lain termasuk dari Eropah beroperasi seperti biasa. "Memang agak lengang sebab tiada penumpang dari Arab Saudi, UAE dan Bahrain sejak tiga hari lalu tetapi aktiviti berjalan seperti biasa," kata seorang pekerja di lapangan terbang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamed. Sekalipun negara berkenaan menutup laluan udara kepada Qatar Airways, secara teknikalnya Bahrain dan UAE perlu membenarkan pesawat itu melalui ruang udaranya kerana mereka menandatangani perjanjian 'International Air Service Transit Agreement' yang perlu dipatuhi. KEADAAN Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha lengang berikutan krisis diplomatik Qatar. - Foto Aizuddin Saad Ia juga tidak menjejaskan penerbangan Qatar Airways ke destinasi lain termasuk ke Kuala Lumpur. Kira-kira 4,900 rakyat Malaysia yang berada di Doha ketika ini juga turut mempunyai pilihan untuk mengambil penerbangan lain pulang ke Malaysia antaranya melalui penerbangan Oman Air dan Sri Lankan Airlines. Sekatan dikenakan tidak memberikan kesan besar untuk mereka yang ingin keluar masuk Qatar, hanya mengambil masa lebih lama kerana terpaksa membuat lencongan. "Tiada masalah balik ke Malaysia," kata seorang rakyat Malaysia, Mohd Edzwan Kamaruzman, 35, yang akan pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat Qatar Airways, Selasa depan untuk berhari raya di Johor. Kuwait dan Turki malah Amerika Syarikat dilaporkan mahu krisis diplomatik melanda negara teluk itu selesai, ketika media antarabangsa memberikan gambaran seolah-olah situasi semakin teruk di Doha. Barangkali krisis diplomatik ini hanyalah turbulance di rantau ini yang pasti mampu dikendalikan Negara Teluk kerana mereka lebih arif mengenai percaturan sebenar di negara mereka, Negara Teluk dan memahami kepentingan kestabilan di rantau ini kepada dunia. Persoalannya siapakah 'kapten' yang akan mengemudi krisis diplomatik di rantau teluk ini?
Sumber : BH Online
No comments:
Post a Comment