Motosikal 'terlekat' di lori



PENUNGGANG motosikal, Mohamad Hafiz Yaakob, 33, cedera parah selepas terbabit kemalangan sehingga kenderaan itu ‘terlekat’ pada bahagian depan lori dalam kejadian di Kilometer 102 Lebuhraya PLUS berhampiran Taman Ria, Indah, Sungai Petani, hari ini.
Dalam kejadian 9.15 pagi itu, mangsa yang menunggang Honda Wave cedera parah di kepala dan patah tangan kiri selepas dirempuh lori itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Saifi Abd Hamid, berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian di lorong kecemasan menuju ke arah utara tiba-tiba dirempuh lori dari arah sama.
Menurutnya, akibat rempuhan itu lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di tengah lebuh raya.
“Motosikal mangsa melekat di bahagian depan lori namun mangsa yang tercampak di tepi jalan terselamat dan mengalami cedera parah di kepala serta patah tangan kiri.
“Mangsa yang berasal dari Alor Bemban, Kota Kuala Muda dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan manakala pemandu lori tidak cedera," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber : MyMetro

No comments:

Post a Comment

Pages